Saturday 2 November 2013

Bajet 2014: Reformasi tanah adat (SARAWAK)

Reformasi tanah adat


Isu tanah adat bumiputera atau NCR di Sarawak isu besar yang menunjangi perasaan tidak puas hati sebahagian besar rakyat Sarawak, khususnya Dayak, terhadap kerajaan negeri.

Isu dasarnya bukanlah semata-mata tentang mempercepatkan pengukuran dan pengesahan status tanah NCR, tetapi jauh lebih penting ialah pengiktirafan kerajaan negeri terhadap hak bumiputera ke atas tanah adat turun-temurun mengikut hukum adat mereka sendiri.

Mempercepatkan proses pengesahan tanah NCR atau ‘perimeter survey' ini pada asasnya mempercepatkan proses pengambilalihan tanah itu oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan, tanpa perlu mengiktiraf status ‘pulau galau' (hutan simpanan komunal) dan ‘pemakai menoa' (domain wilayah rumah panjang) tanah-tanah rakyat ini sebagai tanah NCR.

Isu definisi tanah adat ini sebenarnya sudah pun diakui oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Nor Nyawai pada tahun 2001.

Kes itu menjelaskan bahawa tanah NCR bukanlah hanya ‘temuda' (kawasan terdekat dengan rumah panjang yang juga digunakan untuk bercucuk-tanam dan lain-lain) sepertimana yang difahami oleh kerajaan negeri.

Tanah NCR tetapi juga termasuk ‘pulau galau' dan ‘pemakai menoa'. 


Ini adalah isu penghakisan hak rakyat bumiputera Sarawak oleh kerajaan negeri dan agensi-agensinya ke atas tanah-tanah adat mereka. 

Sebenarnya bukanlah RM50 juta ini yang diperlukan, tetapi yang rakyat mahukan ialah reformasi undang-undang berkaitan tanah adat secara komprehesif.

Ini agar tanah NCR mereka tidak terus dirampas oleh pihak-pihak berkepentingan.

Ya, benar rakyat Sarawak juga akan menerima manfaat daripada inisiatif BR1M, i-BR1M dan peruntukan-peruntukan untuk sistem kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar yang lain.

Namun demikian, persoalannya setakat manakah peruntukan-peruntukan besar untuk Sarawak ini benar-benar menepati keperluan rakyat Sarawak itu sendiri? 

Atau adakah ia akan direbut dan dinikmati oleh kelompok elit tertentu di negeri ini sahaja?

Berbelanja besar biarlah kena pada tempatnya dan beramanah sentiasa. 

Moga-moga igauan ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidak berulang lagi.



By, Rajah Raqafluz

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...