Wednesday, 20 November 2013

EXPOSE: UPKO desak kerajaan jelaskan "Unit Khas Sabah" yang keluarkan MyKad



UNIT KHAS JPN TERLALU SULIT SEHINGGA AHLI PARLIMEN BN SABAH PUN TIDAK MENGETAHUINYA.

"REMOTE CONTROL" Ada di Putrajaya, Kuala Lumpur ?

Putrajaya perlu memanggil semua warga asing Sabah memiliki MyKad melalui saluran rahsia Unit Khas Sabah yang ditubuhkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata ahli parlimen Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, berkata tiada yang tahu operasi unit itu kerana ia terlalu rahsia.

"MyKad diberikan oleh Unit Khas Sabah yang ditubuhkan di bawah JPN, sebuah agensi kerajaan persekutuan.

"Mesyuarat kedua Parlimen kali ini, saya bertanya kepada Kementerian Dalam Negeri mengenai kewujudan unit khas ini dan mereka mengesahkannya namun kami masih belum mengetahui kaedah operasinya, malah tiada jawapan yang memuaskan berhubung isu ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tangau yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (Upko) berkata, apa yang diketahui adalah unit itu ditugaskan mengeluarkan MyKad kepada “warga yang diragui” di bawah tiga kategori.

“Persoalannya adalah mengapa mereka perlu mengeluarkan MyKad kepada pihak yang diragui dan mengapa unit sedemikian perlu ditubuh sedangkan JPN sudah diwujudkan?" katanya dan berkata beliau akan membangkitkan sekali lagi isu ini di peringkat jawatankuasa semasa debat pergulungan Bajet 2014 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai beberapa laporan termasuk penolong pegawai JPN yang ditangkap oleh polis di Miri melibatkan sindiket terbesar di Sarawak dalam memalsukan MyKad dan sijil kelahiran pada Isnin lalu.

Kebanyakan yang ditahan berasal dari Sarawak manakala yang lain adalah dua etnik Bajau dari Sabah, enam lagi dari Semenanjung termasuk pegawai JPN serta tujuh lelaki dan tiga wanita dari Filipina.

Tangau turut meminta satu penyiasatan segera dijalankan bagi memastikan pembabitan pegawai JPN semasa dan yang lepas dalam sindiket memalsukan MyKad.

Beliau mengulangi gesaannya bersama Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok semasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah bagi memanggil semula pemegang MyKad dari Filipina yang memasuki Sabah sejak 1980-an.

Katanya, persoalan yang perlu dijawab adalah siapa mengawal perkhidmatan infrastruktur teknologi komunikasi maklumat (ICT) untuk JPN kerana ICT digunakan dalam permohonan dan pemprosesan MyKad.

"Ia dikawal oleh JPN atau agensi berkaitan kerana IC palsu dijual oleh sindiket ini di antara RM2,000 dan RM10,000," katanya.

Tangau berkata, satu-satunya cara mengatasi masalah ini ialah dengan memanggil semula pemilik MyKad sejak 1970-an.

"Warga Sabah sebenar tidak perlu bimbang. Mereka boleh membuktikan kerakyatan mereka dengan mudah," katanya.

Tangau sebelum RCI pernah mencadangkan sesiapa yang memperoleh IC harus memohon semula menggunakan sijil kelahiran bagi menyisihkan pendatang.

Kenyataan Dompok di RCI sebelum ini mendakwa keengganan pegawai KDN tampil sebagai saksi dan memberi kenyataan kepada Jawatankuasa Integriti Parlimen (PSCI) yang diketuainya pada 2006 merupakan sebab pengundurannya sebagai pengerusi PSCI.

PSCI sebelum ini menyiasat pengeluaran MyKad kepada pendatang di Sabah.

Dompok semasa RCI turut mencadangkan pelarian perang Filipina yang menetap di Sabah perlu dipulangkan ke Filipina.

"Situasi di Filipina berubah. Perang sudah tamat dan keadaannya juga sudah aman," katanya di RCI.

RCI ditubuhkan pada Ogos 2012 bagi menyiasat masalah berkaitan kewarganegaraan dan pendatang di Sabah.

Lima panel mendengar bagaimana MyKad diberikan kepada pendatang asing di kedai kopi dan perkampungan.

Antara yang memberikan kenyataan dan bukti adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

– 20 November, 2013


Facebook Page: STAR, Sarawak
Facebook Page: STAR N38 JEMORENG
Facebook Group: STAR N38 JEMORENG
Facebook Page: STAR P207 IGAN

By, Rajah Raqafluz

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...