SEJARAH MATAWANG MALAYA DAN BRITISH BORNEO DOLLAR
Suatu waktu dahulu kita pernah mempunyai matawang sendiri yang digelar Sarawak Dollar iaitu semasa Negara Sarawak dibawah pemerintahan Keluarga Brooke yang memerintah Sarawak selama lebih kurang 100 tahun.
Setelah pendudukan Jepun pula kita di Sarawak juga telah menggunakan Matawang Daun Pisang Jepun dan mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah pula matawang yang digunakan oleh Sarawak sewaktu ianya dibawah jajahan Koloni British.
Untuk kali ini, artikel yang akan dipaparkan oleh Borneo Oracle adalah Sejarah Matawang Malaya dan British Borneo Dollar yang juga merupakan matawang yang diperkenalkan kepada mana-mana jajahan Koloni British pada suatu waktu dahulu.
Malaya dan British Borneo Dolar adalah matawang Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei pada tahun 1953 hingga 1967.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957, matawang ini tetap terus digunakan walaupun pembentukan Gagasan Malaysia pada 16 September 1963 oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura direalisasikan.
Pada 12hb Jun 1967, kelima-lima negara iaitu Gagasan Malaysia ( Persekutuan Tanah Melayu + Sabah + Sarawak), Negara Singapura yang keluar daripada Gagasan Malaysia pada tahun 1965 dan membentuk negara sendiri serta Negara Brunei Darussalam yang menggunakannya telah memutuskan untuk mengeluarkan nota matawang mereka sendiri namun tetap menyimpannya sebagai pertukaran matawang pada peringkat par.
Walau bagaimanapun negara yang membentuk Gagasan Malaysia pada masa itu telah menarik diri daripada perjanjian tersebut pada tahun 1973. Namun untuk Negara Singapura dan Negara Brunei Darussalam, kedua-dua negara ini masih lagi meneruskan perjanjian ini sehinggalah ke hari ini.
Bagi memperingati peristiwa yang penuh bermakna ini pada 27hb Jun 2007, Negara Brunei Darussalam dan Negara Singapura telah mengabadikan peristiwa yang penuh bermakna ini dengan kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengeluarkan matawang nota polimer bernilai $20 dengan menggunakan warna yang sama dan rekabentuk di bahagian belakang nota masing-masing.
Inilah sekelumit sejarah matawang Dollar Malaya dan British Borneo yang pernah menjadi matawang bagi rakyat Sarawak suatu waktu dahulu. Walaupun perjanjian antara negara ini telah terbatal namun begitu Negara Singapura dan Negara Brunei Darussalam tetap masih lagi menggunakannya sehingga ke hari ini dengan matawang Dollar Singapura dan Dollar Brunei manakala Gagasan Malaysia terus menggunakan Ringgit Malaysia sehinggalah sekarang.
Credits: Borneo Oracle
0 comments :
Post a Comment