Sunday, 17 November 2013

Pemimpin muda Umno panaskan hubungan Putrajaya dan Sarawak - Tan Sri Dr James Masing


Pemimpin muda Umno panaskan hubungan Putrajaya dan Sarawak

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing, menuduh pemimpin muda di peringkat Persekutuan daripada Umno menimbulkan kekecohan di antara Putrajaya dan kerajaan negara Sarawak.

Beliau berkata, kurangnya persefahaman Perjanjian Malaysia dan pembentukan Persekutuan Malaysia menyebabkan mereka beranggapan mereka berkuasa.

Tanpa menamakan mereka, Masing yang juga menteri kanan dalam Kabinet Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pemimpin muda Umno itu seharusnya membaca kembali buku sejarah.

"Mereka perlu diingatkan mengenai persefahaman pembentukan Malaysia, perjanjian yang ditandatangani, kedudukan Sarawak dan Sabah dan Persekutuan serta hak istimewa dan autonomi kami.

"Apabila bercakap dengan kami mereka rasa mereka kuat dan menjadikan kami dari Sarawak ibarat kuli.

"Secara peribadi, saya menyampah dengan pemimpin yang tidak melayan kami dari Sarawak dengan adil dalam pentadbiran," katanya.

Masing berkata, beliau sedih dengan pemimpin Umno yang kerap bertanyakan soalan seperti: "Oh bila keluar Malaysia?" ketika berada di Kuala Lumpur atau Putrajaya ketika menghadiri mesyuarat.

"Saya katalah saya tidak tinggalkan Malaysia. Saya hanya terbang dari Kuching. Itu mungkin kecil, tetapi ia menunjukkan pemikiran mereka.

"Kami dari Sabah dan Sarawak dilihat umpama tambahan kepada Malaysia Barat.

"Hanya empat tandatangan yang membentuk Malaysia - Malaya, mewakili 11 negeri Selat dan negeri Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (yang dikenali sebagai Borneo British Utara).

"Bukan 11,12 atau 15 tandatangan. Hanya empat. Sarawak dan Sabah adalah wilayah sendiri dan kami perlu dilayan sepatutnya," katanya.

Masing berkata, jika pemimpin muda itu memahami perkara ini dan sejarah, tiada pertikaian antara Sarawak dan Putrajaya, terutama sekali apabila polisi Semenanjung tidak memasukkan Sabah dan Sarawak.

Isu antara kedua-dua kawasan berkenaan, katanya, adalah seperti pengharaman penggunaan perkataan Allah oleh Kementerian Dalam Negeri bagi penerbitan Kristian.

Isu berkenaan menimbulkan kemarahan 1.6 juta penganut Kristian di Malaysia Timur dan menentang Putrajaya kerana melanggar point pertama pembentukan Malaysia berhubung penyertaan Sabah dan Sarawak.

"Bagaimana ia hanya di Malaysia Barat tetapi tidak terpakai di Malaysia Timur? Kenapa ada dua set undang-undang dalam satu negara?

“Kemudian ada menteri Umno kata kita Malaysia Timur datang ke Semenanjung mereka perlu menghormati peraturan Malaysia Barat kerana tidak biasa dengan Kristian menggunakan kalimah Allah," katanya, merujuk kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang memberi amaran Kristian Sabah Sarawak tidak boleh menggunakan perkataan itu di Malaysia Barat.

"Itu sombong," katanya.

Autonomi imigresen Sarawak yang menimbulkan sekatan kepada penduduk di Semenanjung adalah antara isu yang dibangkitkan di Parlimen.

Beliau berkata, pemimpin BN sama ada dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak perlu membincangkan isu “secara berhemah dengan sensitiviti secara adil bukannya bos dan anak buah."

"Perlu ada semangat persefahaman. Jika pemimpin kita tidak memahami Perjanjian Malaysia, maka kekhuatiran bapa pembentukan Malaysia, Tun Jugah Barieng akan berlaku,” katanya.

Jugah, berketurunan Iban pernah menyuarakan kekhuatiran beliau dengan berkata: 

"Anang Malaysia sebaka tebu, manis di pohon, tawal di hujung” (Malaysia jangan jadi seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung).

Masing berkata, kritikan itu berhubung dengan semakan perjanjian berkenaan namun mengingatkan terma dan perjanjian pembentukan Malaysia dan menghormatinya.

Pertelingkahan berkenaan, katanya, akan menghancurkan peluang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri.

Mandat kerajaan Sarawak sekarang akan tamat pada 2016.

"Saya harap pemimpin pusat akan melihatnya sebagai kritikan yang membina kerana saya mahu BN terus memerintah,” katanya.

Rabu lalu Parlimen menolak usul tergempar Ahli Parlimen Penampang, Darrel Leiking dari PKR untuk menyemak perjanjian ke-18 dan ke-20.

Timbalan Speaker Ismail Mohamed bagaimanapun menolaknya kerana tidak menganggap ia satu keperluan. - 17 November, 2013.

Credits: Facebook page "Party Bansa Dayak Sarawak (Baru)"


Facebook Page: STAR, Sarawak
Facebook Page: STAR N38 JEMORENG
Facebook Group: STAR N38 JEMORENG
Facebook Page: STAR P207 IGAN

By, Rajah Raqafluz

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...